usai solat sunat jumaat, seorg jamaah datang berbual dgn saya. kadang2 kita
tidak tahu sesebuah majlis ada maksiat/kemungkaran, jadi kita pergi. saya
katakan, tidak tahu itu tidak mengapa, bila kita dah tahu dan nampak, kita kena
pergi dari situ...
perbualan ini kesan dari satu khutbah jumaat yg dibacakan sebelum itu, mari
sama sama kita hayati..
Setiap kali khatib membacakan khutbah di atas mimbar ini, kita semua akan diperingatkan tentang kewajipan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dengan melakukan segala suruhan Allah Ta'ala serta meninggalkan segala larangannya. Semoga pesanan yang kita dengar setiap minggu ini menjadi satu amalan bagi kita, yang akan menyelamatkan kita dari kemurkaan Allah di dunia dan akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Tanggungjawab mencegah kemungkaran merupakan salah satu amanah Allah Ta'ala yang dipertanggungjawabkan kepada kita orang orang yang beriman. Ianya berkait rapat dengan tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang mukmin.
Imam Muslim rhm meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda di dalam sebuah hadis:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka tegahlah dengan tangannya, jika tidak mampu dengan lidahnya, dan jika tidak mampu dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah lemah iman.
Hadis di atas dengan jelas menerangkan kepada kita tentang kewajiban mengubah atau mencegah kemungkaran . al-imam an-nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyebut: " perkataan nabi s.a.w ubahlah ia/cegahlah ia merupakan perintah yang wajib dilaksanakan menurut kesepakatan ulama. Kewajipan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran ini bertepatan dengan al-quran, sunnah dan ijma' umat. Ia juga termasuk di dalam an-nasihah yang merupakan sebahagian daripada ad-diin."
Satu perkara yang wajib kita fahami, Perintah mencegah kemungkaran bukanlah semata mata mengelakkan diri kita sendiri daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan, malah kita juga wajib mencegah orang lain dan persekitaran kita dari perkara perkara yang bertentangan dengan perintah Allah.
Rasulullah s.a.w telah meletakkan pencegahan maksiat dengan hati, yakni membeci sesuatu kemaksiatan dan kemungkaran beserta riak kebencian di wajah, sebagai tahap selemah lemah iman. Di dalam sebuah hadis yang lain, rasulullah menambah bahawa, barangsiapa yang tidak ada langsung kebencian di hatinya apabila berhadapan dengan maksiat dan kemungkaran, maka tiada lagi iman di dalam hatinya walau sebesar biji sawi!! Demikianlah kaitan keimanan kita dengan amanah mencegah kemungkaran.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Menghadiri sesuatu majlis atau program yang mengandungi perkara perkara yang bertentangan dengan hukum hakam Allah secara terang terangan, tanpa menegur, merupakan satu kesalahan di sisi syara'. Oleh itu sesiapa yang mampu hendaklah menegur kesalahan itu, jika tidak, maka dia perlu keluar dari majlis itu.
Firman Allah Ta'ala:
وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ وَإِمَّا يُنْسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَى مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ [الأنعام: 68]
Maksudnya :
Dan apabila engkau melihat orang orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek ejek ayat ayat kami, tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan hal yang lain. Jika engkau dilupakan oleh syaitan, lalu engkau duduk bersama mereka, janganlah engkau terus duduk bersama kaum yg zalim itu sesudah engkau mengingati larangan itu.
Di dalam ayat di atas, Allah taala telah melarang orang orang yang beriman daripada duduk bersama mereka yang mencaci dan mengejek ayat ayat allah. Para ulama bersetuju bahawa mencaci dan mengejek ayat allah itu bukan sekadar mencaci dan mengejek dengan perkataan, tetapi semua perbuatan yang melanggar hukum allah dan bertentangan dengan perintahnya termasuk di dalam cacian dan ejekan terhadap ayat dan perintah allah.
Oleh itu, wajib kita menjauhi majlis, atucara atau program yang mengandungi perkara perkara yang mungkar, termaksukalah pergaulan bebas, hiburan melampau, serta majlis yang mengandungi bid'ah dan khurafat. walaupun kita tidak menyertai kemungkaran itu, atau sekadar menjadi pemerhati kepadanya, ia bukanlah satu alas an yang membenarkan kita terus berada di dalam majlis, pogram atau atucara tersebut. Jika kita menghadirinya tanpa mengetahui adanya perkara perkara mungkar ini, hendaklah kita segera meninggalkannya apabila kita mula menyedarinya.
Di dalam ayat yang lain, Allah berfirman:
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آَيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kpd kamu perintahnya di dalam kitab iaitu apabila kamu mendengar ayat ayat allah diingkari dan diejek2, janganlah kamu duduk bergaul dengan mereka sehinggalah mereka memperkatakan perkara lain. Ini kerana, jika kamu melakukan perkara itu tentulah kamu sama seperti mereka… an-nisa:140.
Tentu ada yang tertanya Tanya, kenapa pula orang yang sekadar menghadiri majlis/program yang mengandungi kemungkran tanpa melakukan perbuatan itu, boleh dikatakan sama dengan orang yang secara terus melakukan kemungkran tersebut? Soalan ini dijawab oleh imam al-qurtubi:
Ayat ini menjadi dalil wajib menjauhi pelaku maksiat apabila jelas kemungkaran yang dilakukan.ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti dia redha dengan perbuatan mereka itu.
Imam al-qurtubi, ketika mentafsirkan ayat ini menyebut
Firman allah: kalau begitu kamu sama seperti mereka, iaitu sesiapa yang duduk di dalam majlis maksiat dan tidak menegur mereka akan menanggung dosa yang sama dengan mereka. Dia hendaklah menegur mereka sekiranya mereka bercakap tentang maksiat dan melakukannya. Sekiranya dia tidak mampu , dia perlu meninggalkan mereka agar tidak termasuk di dalam golongan yg disebut di dalam ayat ini.
Lihatlah betapa besarnya akibat menghadiri majlis yang mengandungi kemungkaran dan maksiat, walaupun kita tidak melakukan maksiat tersebut. Disebabkan tindakan kita mendiamkan diri di hadapan sesuatu kemungkaran, kita bukan sahaja dikira meredhai atau merelakan kemaksiatan dan kemungkaran, malah turut akan menanggung dosa yang sama dengan pelaku maksiat!!
Oleh itu, marilah kita sama sama berusaha memelihara diri, keluarga, saudara mara, masyarakat dan persekitaran kita daripada sebarang bentuk kemaksiatan dan kemungkaran. Berdoalah kita kepada Allah semoga kita semua dipelihara daripada sebarang kemaksiatan dan kemungkaran yang bakal mengundang kemurkaan allah swt.
-dibacakan di atas mimbas jumaat masjid kariah kampung Dong, pada khutbah jumaat 12june2009.
13june2009-11.03am
0 komen:
Catat Ulasan