inna lillahi wa inna ilaihi rojiuun....

usai solat isyak berjemaah di surau sungai jahit. kami sedang bersantai seketika. tiba tiba salah seorang sahabat, lan, menerima panggilan telefon. kedengaran seperti pemberitahuab berita kematian. lan berulang kali bertanya. khuatir hanya gurauan.setelah pasti, lan memberitahu kami, seorang sahabat kami meninggal dunia, di depan kedai peli. eksiden.

kami bergegas ke tempat kejadian dengan motorsikal. orang kampung kuala gali sudah mula berkumpul. begitu juga sebahagian daripada musafir yang melalui jalan raya berhenti untuk bertanyakan hal.

sebuah lori panjang bermuatan longkang besar. kepalanya sudah masuk ke kawasan pembinaan projek R&R kampung kami. ekor lori masih di atas jalan. di tepi dan belakang lori terbarai dua buah motorsikal. salah sebuah daripadanya dalam keadaan amat teruk. sementara jasad kedua dua penunggang sudah terbujur kaku di atas jalan raya.

kedua-dua penunggang adalah anak jati kampung kuala gali. salah seorang daripada mereka sedang menunggu keputusan SPM, sementara seorang lagi bakal menduduki peperiksaan PMR tahun ini.

salah seorang daripada mereka, syukri, pernah melibatkan diri dalam kelas pengajian saya, iaitu  kelas belia di surau sungai jahit dan kem intensif asas islami 2 (KIAI 2)

bagaimana kemalangan berlaku sebenarnya tidak pasti. yang kami tahu mereka langgar belakang lori. para saksi hanya mendengar bunyi break emergency dan dentuman. kemudian bunyi yang sama berulang sekali lagi.

kami beransur bersurai dari tempat kejadian apabila kedua dua jenazah dibawa ke dalam trak polis untuk dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

sementara menunggu bedah siasat dijalankan, kami menanti di surau. jam 1 lebih jenazah yang sudah siap dimandi dan dikafankan sampai di masjid jamek kariah dong untuk disolatkan. selepas itu kami sama-sama mengiringi jenazah ke tanah perkuburan kuala gali.

walaupun sudah jam dua pagi, ramai yang hadir di kubur. kebanyakannya keluarga arwah dan kami sahabat sahabatnya. usai jenazah dikebumikan, imam dua, yang merupakan bapa saudara kepada salah seorang mangsa memberikan sedikit tazkirah sebagai peringatan kepada yang masih hidup, disusuli dengan doa.

perginya dua insan ini ke alam sana, dalam usia yang muda, sudah pasti memberikan pengajaran dan iktibar buat kita yang masih diberi peluang hidup di atas bumi ini.

Allahummaghfirlahuma warhamhuma wa'aafihuma wa'fu anhuma...
Allahumma amin...


0 komen: