Fiqah Fauna- Nafkah Haiwan?

Fiqah Fauna
“Nafkah Haiwan” ?
Ahmad Shamil



Encik Zubair serba salah. Ada rasa sesal pula dalam diri kerana melalui lorong hadapan kedai haiwan peliharaan ini tadi. Anak kecilnya sudah “jatuh cinta” dengan anak arnab di dalam sangkar di hadapan kedai.
Bukan harga fauna comel itu yang bermain di fikiran. Apalah sangat mengeluarkan sedikit wang untuk kegembiraan anak sendiri. Tetapi dalam kesibukan hidup keluar pagi pulang malam, mampukah mereka sekeluarga menunaikan “hak-hak” si comel itu nanti?
Siapa yang akan menguruskan makan minumnya? Membersihkan sangkarnya? Takut-takut akhirnya nanti fauna itu terpaksa dilepaskan di mana-mana kawasan semak kerana sudah tidak mampu diuruskan lagi!!

Nilai sebuah kebebasan
            Haiwan diciptakan dengan fitrah untuk hidup bebas berkeliaran. Apabila seekor haiwan dipelihara oleh manusia, kebebasannya menjadi kurang atau terhad daripada kebiasaan. Kebebasan haiwan yang bebas berkeliaran dan haiwan yang dipelihara tentulah berbeza.
Keterbatasan untuk bergerak mungkin menghalang sang fauna untuk memenuhi sekurang-kurangnya sebahagian daripada keperluan asas yang diperlukan. Oleh sebab itu, Islam telah menetapkan beberapa peraturan dan adab yang perlu dipatuhi dan diberikan perhatian dalam pemeliharaan haiwan.
Pemilik haiwan dituntut memenuhi keperluan-keperluan asas haiwan tersebut. Ia bolehlah diibaratkan sebagai “bayaran” atau “ganti” kepada sebahagian daripada kebebasan haiwan yang telah hilang.



“Nafkah Haiwan”
Percaya atau tidak, anda akan menemui ungkapan “nafkah haiwan peliharaan” (dalam bahasa Arab disebut sebagai (نفقة البهائم  di dalam kitab-kitab fiqah.
Ungkapan ini boleh kita temui di bawah bab nafkah dalam kitab pernikahan. Ia dibincangkan di bawah tajuk perbincangan mengenai nafkah isteri, ibu bapa, anak-anak dan hamba sahaya.
Nafkah haiwan peliharaan bermaksud keperluan-keperluan asas seperti makanan dan perubatan yang wajib dipenuhi oleh pemilik haiwan terhadap haiwan yang dipelihara. Ia menggambarkan betapa Islam sangat menitik beratkan perkara ini kepada umatnya.
            Pemilik haiwan diwajibkan menguruskan keperluan makanan haiwan peliharaan. Ia merangkumi semua jenis haiwan peliharaan. Tidak kira sama ada haiwan tersebut boleh dimakan atau tidak. Diternak untuk hasil dan manfaatnya,  atau hanya dipelihara sebagai haiwan manjaan.
            Haiwan peliharaan tidak boleh diberikan makanan secara sembarangan. Makanan yang diberi perlu sesuai dengan tabiat serta sifat pemakanan haiwan tersebut. Maksudnya, sebelum memelihara haiwan, kita perlu melakukan sedikit kajian mengenai tabiat dan sifatnya.
            Seseorang yang memelihara lembu contohnya, perlu menyediakan kawasan meragut seperti padang rumput. Dia juga perlu mengembala lembu tersebut. Jika tidak ada masa untuk mengembala, dia perlu mengupah orang untuk menggantikan tugasnya mengembala lembu ke padang rumput.
            Begitu juga haiwan-haiwan peliharaan yang lain. Pemiliknya wajib menyediakan makanan yang sesuai. Dalam kata lain, dia perlu menanggung segala kos pengurusan makanan haiwan peliharaannya.


(lihat: Hasyiah Ibn Abidin 3/638, As-Syarhu Al-Kabir 2/522, Al-Istiqsa' Takmilah Al-Majmu' Syarhu Al-Muhazzab 22/438 dan Al-Mughni 18/271)

- artikel ini adalah sebahagian daripada artikel penulis yang tersiar dalam majalah solusi isu 63 terbitan telaga biru

0 komen: