ini dia tlisan saya yg terselit dlm artikel "cari titik pertemuan" dlm hmetro. saya siarkan bahagian saya sahaja, utk baca artikel penuh sila lawati:
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20091023095754/Article/indexv_html
Seperkara lagi yang cukup penting adalah perkara yang terjadi sekarang tidak hanya terhad kepada kebimbangan terhadap kemunculan Wahhabi, malah amalan melabelkan orang lain sebagai Wahhabi secara berleluasa juga perlu dihindarkan.
Sementara itu, pendakwah bebas, Muhamad Shamil Shahrin, berkata secara umumnya, tujuan mereka murni kerana berusaha menghidupkan semula manhaj ulama terdahulu iaitu generasi salafus soleh yang hidup pada kurun awal hijrah selepas zaman sahabat (yang diiktiraf Nabi Muhamad sebagai generasi terbaik selepas sahabat).
"Pendekatan mereka dalam amalan juga bertepatan dengan anjuran agama iaitu menjadikan setiap amalan berteraskan ilmu dan ilmu pula perlu berteraskan dalil yang diterima pakai sebagai hujah dalam agama.
"Selain itu, mereka juga antara golongan paling aktif dalam menyuburkan kuliah berbentuk ilmiah terutama di pusat pengajian tinggi yang kita ketahui ia medan kita menuntut ilmu pengetahuan. Ini sebahagian contoh baik untuk kita sama-sama teladani terutama mewujudkan minat dan menyuburkan kecintaan terhadap pencarian ilmu," katanya.
Beliau juga menyarankan supaya situasi pertelagahan yang berlaku perlu dipulihkan segera iaitu dengan mengambil pendekatan secara paling adil.
"Bagi mereka yang tidak sealiran ini, mereka perlulah mengurangkan jarak perselisihan dengan mencari titik pertemuan seperti cuba berbaik sangka dalam mencapai satu kefahaman terhadap perkara yang bercanggah dengan Islam.
"Menjadikan dakwah, penerangan dan kefahaman sebagai keutamaan dan bukannya tergopoh-gapah menghukum dan mencari kesilapan orang lain. Memperluaskan bacaan agar ilmu kita tidak terhad kepada sebelah pihak saja dalam membantu kita bersikap adil dalam menilai hujah semua pihak," katanya.
Muhamad Shamil berkata, setiap umat Islam perlu terbabit mengikuti perbincangan secara ilmiah dan berhenti daripada terbabit dengan perdebatan.
"Umat Islam sepatutnya perlu mendalami ilmu agama (usul fiqh dan fiqh) agar dapat memahami sebab perselisihan ulama dalam masalah fiqah dan tidak hanya 'berbangga' dengan kefahaman yang mereka miliki bersandarkan pada zahir ayat atau hadis saja.
"Mungkin ada di kalangan masyarakat mendakwa sesuatu amalan sebagai Wahabi atau melanggar mazhab Syafie, padahal jika diteliti dalam kitab fiqh sendiri, sebahagian amalan itu anjuran mazhab Syafie. Kita perlu rajin menimba ilmu kerana disebabkan kecetekan ilmu, kita hanya menempah dosa terhadap agama," katanya.
ini versi yg telah diedit sahabat saya, saudara Fadly. alhamdulillah sahabat saya ni mengedit tak mengubah makna. di bawah saya siarkan tulisan asal saya yg saya emelkan pada beliau. agak panjang, sebab tu beliau ringkaskan kot.
tulisan asal:
Positif
Pada pandangan saya, secara umumnya, tujuan mereka murni, berusaha menghidupkan semula manhaj ulama terdahulu, generasi salafus soleh yang hidup dlm kurun awal hijrah, selepas zaman para sahabat, yang diiktiraf oleh nabi s.a.w sebagai generasi terbaik selepas generasi para sahabat.
Pendekatan mereka dalam amalan juga bertepatan dengan anjuran agama. Setiap amalan hendaklah berteraskan ilmu, dan ilmu pula berteraskan dalil dalil yang diterima pakai sebagai hujah di dalam agama.
Pendekatan yang berkesan bagi menjelaskan kepada ummah apa dia sebenarnya yang disyariatkan oleh Allah,agar mereka dapat mengasingkan ia daripada perkara perkara tambahan dan adat serta amalan masyarakat yang turut dianggap sebagai kewajipan agama, sedangkan hakikatnya tidak.
Menyuburkan ruh bersikap adil dalam mengkaji kebenaran sebelum menerima sesuatu. Baik dalam penyampaian lisan atau penulisan, setiap kata kata,pendapat dan kenyataan yang disebut perlulah dinilai terlebih dahulu, dikenalpasti dari mana datangnya, apakah benar dari org yg disandarkan.
Mereka juga antara yang paling aktif menyuburkan kuliah berbentuk ilmiah, terutama di kampus kampus, menimbulkan suasana menuntut ilmu agama khusunya di kalangan pelajar. Penyampaian ustaz ustaznya yang mudah difahami, dijiwai, mampu menarik dan menyuburkan minat pelajar bukan jurusan agama untuk mendalami ilmu hadis, usul fiqh, dan fekah dengan lebih meluas.
Hasilnya kadangkala kita dapat lihat mereka yang bukan dari jurusan agama, tapi komited dengan kuliah kuliah ini, mereka mampu memahami dengan lebih baik ilmu2 agama daripada mereka yang di dalam jurusan agama itu sendiri.
Muhasabah utk org yg dilabel
- dengan mereka yang tidak sealiran, mengurangkan jarak perselisihan, mencari titik pertemuan, cuba berbaik sangka dalam mencapai satu kefahaman di dalam sesuatu perkara yang nyata tidak bercanggah dengan Islam.
- membezakan di antara masalah masalah perselisihan mazhab di dalam fiqh, masalah masalah yang memang ada pendapat ulama dengan hujah hujah yang diterima syara' , dengan masalah perkara perkara yang diada adakan dalam agama atau bid'ah
- menjadikan dakwah, penerangan, dan kefahaman sebagai keutamaan, bukan cepat gopoh menghukum dan mencari kesilapan. Sikap segelintir yang agresif, terlalu cepat menghukum dan menyalahkan menyebabkan kadangkala keseluruhan dilabel dengan agresif
- memperluaskan bacaan agar tidak terhad pengetahuan kita dari sisi satu pihak sahaja. Juga membantu kita bersikap adil dalam menilai hujah hujah dari semua pihak.
- Memilih jalan perbincangan ilmiah, diskusi, daripada terlibat dengan perdebatan
- Tidak hanya bergantung kepada kefahaman zahir ayat atau hadis, perlu mendalami ilmu usul fiqh dan fiqh dengan lebih mendalam, agar dapat memahami sebab sebab perselisihan ulama di dalam masalah masalah fekah.
Muhasabah untuk masyarakat
- sebahagian masyarakat mudah melabel orang dengan label wahabi dan sebagainya bila melihat sesuatu yang dilakukan bercanggah dengan amalan masyarakat. Kadangkala masyarakat mendakwa sesuatu amalan sebagai amalan wahabi, atau melanggar mazhab syafi;I, padahal jika diteliti di dalam kitab2 fiqh, sebahagian amalan itu adalah anjuran mazhab syafi;I sendiri. Kita perlu rajin mendalami ilmu agama, agar sangkaan sangkaan kita dek kerana ceteknya ilmu menyebabkan kita berdosa terhadap agama.
1.17am
1 komen:
oo
rupanya ustaz la pendakwah bebas itu..
Catat Ulasan