Tinta Ramadhan: Ramadhan- Taatkah kita atau enggan?

hari ini 19 Ramadhan. bermakna tinggal 10 atau 11 hari sahaja lagi kita akan berada di dalam bulan mulia yang penuh dengan keberkatan ini. hanya empunya diri sahaja yang mengetahui, sejauh mana dirinya telah berusaha untuk mengutib dan merebut pelbagai peluang, kurnia dan anugerah Allah dalam bulan Al-Quran ini.

sejak awal Ramadhan, kita telah menyebutkan banyak hadis-hadis Nabi s.a.w. berkaitan kelebihan bulan Ramadhan serta ibadah ibadah khusus yang terkandung di dalamnya. begitu juga hadis-hadis berbentuk amaran yang menyuruh kita berhati-hati agar amalan amalan yang kita lakukan tidak sia -sia.

hakikatnya setiap insan bergelar Muslim yang melalui bulan Ramadhan sama sama mempunyai peluang untuk menjadi org yang bertakwa dan mendapat keampunan Allah Azza Wajalla.

Imam Al-Bukhari r.h.m pernah meriwayatkan satu peristiwa dalam kitab sahih beliau. ringkasnya, ketika Nabi s.a.w. sedang berada dalam satu majlis di masjid, bersama-sama dengan para sahabat r.a, tiga orang individu telah masuk ke dalam masjid. ketiga tiganya memberikan respon yang berbeza terhadap majlis tersebut.

ada yang berpatah balik, berlalu meninggalkan majlis. ada yang melihat kekosongan dalam lingkungan yang melingkungi Nabi s.a.w. lalu dia mengisinya. ada yang duduk di barisan belakang lingkungan tersebut.

lantas Nabi s.a.w. menerangkan situasi ketiga tiganya kepada para sahabat. adapun yang berpaling, Allah pun berpaling daripadanya. yang malu-malu, Allah turut bertindak segan-segan kepadanya.  yang mahu kepada Allah, dialah yang paling beruntung.

sebenarnya begitu jugalah kita dan Ramadhan serta segala kelebihan yang terkandung di dalamnya. umpamakan Ramadhan seperti majlis yang sedang berlangsung di dalam masjid.  yang masuk ke dalam masjid pula adalah insan-insan yang diberikan peluang hidup melalui bulan Ramadhan. hasil dan natijah yang diperolehi tentulah berdasarkan kehendak dan usaha yang dilakukan.

adakah dengan sekadar melalui bulan Ramadhan sehingga ke penghujungnya, sebagaimana kita melalui hari hari biasa, tanpa melakukan sebarang usaha untuk mengaut anugerah yang ada di dalamnya, menjadikan kita keluar daripadanya dalam keadaan takwa dan mendapat keampunan?

ibarat insan yang melalui sebatang sungai yang dikenalpasti sebagai lubuk ikan. sesekali kelihatan kilasan ikan menyambar objek di atas air. insan yang bersungguh mahukan ikan tersebut akan berusaha mendapatkannya, tidak kira dengan jala, jaring, kail, pancing, tajur....yang mana perlukan umpan, disediakan umpan terbaik untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

orang yang tidak mahukan ikan tersebut hanya akan memandang dan berlalu begitu sahaja. walaupun dia melalui kawasan tersebut setiap hari. ada juga orang yang mahukan ikan, tetapi hanya memasang angan angan tetapi tidak berusaha. akhirnya seronok yang diperolehnya hanya seronok berangan.

paling penting, jangan sampai kita jadi orang yang tidak endahkan langsung tawaran tawaran yang Allah berikan dalam bulan Ramadhan. Allah s.w.t. menyerlahkan sifat Maha Pemurahnya dengan limpahan anugerah, kita pula buat buat tidak endah dengan segala tawaran tersebut?

Allah s.w.t. berfirman:
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq (derhaka). Tidaklah sama ahli Neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan [Al-Hashr 59 : 19-20]

Nabi s.a.w. pernah bersabda:
 كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى
Setiap ummatku akan masuk syurga, kecuali orang yang enggan. Mereka bertanya: Wahai Rasulallah, siapakah yang enggan? Baginda s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang mentaatiku, dia akan masuk syurga. sesiapa yang mendurhakaiku sesunggunya dia telah enggan".

 lantas bagaimanakah kita dengan Ramadhan.
 apa yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini, mempengaruhi keputusan persoalan ini. 
hanya ia mampu menjawab, sama ada kita orang yang mahukan keampunan atau enggan!!

0 komen: