antara Harapan dan Taklifan


Daripada pengalaman bergaul dengan masyarakat di tempat saya, apabila seorang graduan jurusan pengajian Islam-tidak kira dengan nama apa di sebut dan digelar jurusan itu- tamat pengajiannya, sedar atau tidak, masyarakat-paling tidak sebahagian- mengharapkan sesuatu daripadanya. Harapan ini adalah sumbangan terhadap mereka, antaranya memikul tugasan seperti imam dan menyumbangkan ilmu kepada masyarakat kampung. Yang hakikatnya, bukan sekadar harapan. Ia sebenarnya satu taklifan juga.

Namun dari satu sudut yang lain, graduan graduan ini seperti graduan graduan lulusan lainnya bila selesai pengajian, perlu menyelesaikan beberapa perkara termasuk pinjaman ketika belajar. Pinjaman ketika belajar menuntut para graduan untuk segera mencari pekerjaan, bagi menyelesaiakan hutang yang terpikul di bahu.

Kedua dua perkara ini mungkin untuk digabung, jika mendapat kerja di tempat sendiri. Namun kemungkinan itu mungkin diganggu oleh tuntutan kerjaya pula. Tuntutan kerjaya yang pelbagai, sebenarnya memang satu rasional untuk sebahagian graduan tenggelam akhirnya dalam kesibukan, dan tidak sempat untuk melaksanakan tugas yang satu lagi.

Dalam keadaan yang saling tidak memahami, maka prasangka tidak baik mungkin muncul. Kata kata seperti ustaz ustaz sekarang tidak mahu mengajar, mahu makan gaji sahaja, tidak mahu buat kerja amal, akan keluar dari mulut sebilangan masyarakat. Tambah lagi, bilangan yang mengambil kursus pengajian Islam makin berkurangan.

Bagi yang sudah mendapat kerja, tahniah saya ucapkan. Selamat menjalankan tanggungjawab. Di mana juga kita semua berada, kita punyai tanggungjawab terhadap masyarakat di sekeliling kita. Selain berusaha dan beramal, pergantungan kita kepada Allah itu amat penting dalam memohon komitednya kita dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Saya masih ingat ketika di ambang memasuki alam kampus, seorang ustaz di sekolah saya yang kini pensyarah di salah sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, berbual tentang pelapis pemimpin agama di kampung. Beliau merenung hari depan kampung kami dan kampung sekitar, memandangkan yang ada pada hari itu semuanya sudah menjangkau usia emas. Pelajar2 sekolah agama pula, akan melanjutkan pengajiannya ke peringkat lebih tinggi. Beliau menyuarakan kebimbangannya tentang ramainya pelajar sekolah agama memilih aliran lain untuk disambung bila melanjutkan pelajaran. Yg masih memilih aliran agama pula kebanyakannya bila habis belajar lazimnya juga akan meninggalkan kampung.

Hari ini ,saya merasai suasana itu sendiri di dalam masyarakat. Biarpun imam imam usia emas 8 tahun lalu itu masih ada yang masih gigih berkhidmad, mereka sudah tidak seperti dulu. Ada yang bila hari hujan, dan cuaca agak sejuk, mereka tidak mampu lagi keluar. Kalau dulu kawasan mengajar mereka jauh melangkaui beberapa kampung, kini hanya menumpukan pada kampung sendiri dan berdekatan.



Peribahasa menyebut patah tumbuh hilang berganti. Namun hakikatnya dalam perkara ini, adakah ia semudah pucuk tumbuhan yang bercambah selepas musim hujan? Bila patah tumbuhkah ia? Bila hilang benarkah berganti?sepantas dan semudah itu?

Bukanlah maksudnya meletakkan diri kita sebagai orang harapan untuk meneruskannya. Sebenarnya yang lebih penting ialah tanggungjawab dan amanah. Terutamanya amanah sebagai penuntut ilmu. Dengan ilmu itu kita diamanahkan mengangkat kejahilan diri kita, seterusnya mengangkat kejahilan dalam masyarakat bila tiba waktunya. Dan tentulah masyarakat setempat kita yang lebih utama untuk kita perbetulkan dan angkatkan kejahilannya. Baginda rasulullah s.a.w, diutuskan untuk sekalian alam, bukankah baginda juga memulai dakwahnya dari tanah tumpah darahnya sendiri? Kemudian barulah baginda mengembangkannya ke luar Makkah.

Lemparkan pandangan jauh ke hari muka. Tatkala disoal apa yang telah kau perbuatkan dengan ilmu mu yang telah aku amanahkan kepadamu, terhadap masyarakat setempatmu, adakah nanti jawapan yang hendak kita jawabkan?

2 komen:

abdullatef berkata...

Haiyya , susah mau jawab ooo...

IBNU berkata...

Terjemahan hadis " sesungguhnya Allah tidak mengambil ilmu itu dengan begitu sahaja(secara tiba2) tetapi mengambilnya dengan mengambil(nyawa) ulama"