Wan- Tinta Seorang cucu
"wan"- panggilan kami terhadap seorang insan wanita bergelar nenek. Dalam susur galur sebelah mak, ramai di antara kami cucu cucu wan tidak pernah bertemu dengan atuk kami, Haji Omar bin Yahya. Kata orang orang lama, tok kembali ke rahmatullah dalam usia yang tidaklah tua. Tanda wan seorang wanita tabah mengharungi kehidupan sendirian setelah itu.
Antara ujian getir yang dilalui wan ialah menghadapi pemergian dua anaknya yang pergi terlebih dahulu daripadanya. Mula mula arwah ngah- Khairuddin Omar, pada tahun 1992, kemudian arwah Pak Long- Amiruddin Omar, pada tahun 2004.
Keluargaku agak rapat dengan Wan, sebab wan bukanlah seorang nenek yang hanya ditemui sekali sekala ketika balik kampung, tetapi yang duduk sekali serumah. Semenjak pindah dari Jerantut ke Kampung Sungai Jahit, memang kami sekeluarga menetap di rumah wan. Kemudian apabila berpindah ke rumah di Kampung Jambatan Dong, walaupun tidak ikut pindah, Wan memang selalu berada di rumah kami. Selepas itu berpindah semula ke rumah di kampung sungai jahit (rumah sekarang), betul betul di tepi sebelah rumah wan.
Ini semua juga menjadikan adik beradikku mendapat didikan langsung dari wan. Kakak yang sulung, kedua dan ketiga, memang pernah menetap lama dengan wan ketika kecil, ketika sebahagian lagi keluarga kami masih menetap di Jerantut.
NosTaLgia
Zaman kanak kanakku, dari pra- mumaiyiz hingga pra- remaja, memang dihabiskan di rumah wan di sungai jahit. ketika memulakan alam persekolahan di TASKI ABIM Sg Lar, wan lah yang menemani di hari hari awal persekolahan. Mula mula wan tunggu sehingga habis kelas. Selepas aku menyesuaikan diri, wan hanya menghantar dan menjemput. Seingat aku kami banyak berjalan kaki, terutamanya ketika pulang.
Ramadhan juga mengingatkan kepada beberapa peristiwa. Antaranya ketika darjah satu, mula mula belajar berpuasa. Balik dari sekolah, wan bersuara, " nak makan nasi ada aku tanak..". itulah hari pertama berpuasa bagiku dan ianya sekerat hari.
Bila dah pandai berpuasa, bermacam macam benda pula dicuba untuk menghilangkan panas. Suatu hari wan nampak aku asyik bawak bekas berisi air untuk dilap ke badan. "kalau dah panas tak payah ke hulu ke hilir bawak air, pergi mandi.." begitulah lebih kurang katanya.
Duduk dengan wan tidaklah menjadikan kami dimanjakan seperti kata setengah orang. ini kerana wan seorang yang tegas dan mementingkan disiplin. Kami tidak akan keluar bermain sebelum pukul lima . Kalau terleka bermain hingga ke senja, akan terdengar suara wan memanggil pulang.
Dulu masa kami berpindah ke kampung jambatan Dong, kami tinggalkan seekor kucing jantan bernama Kutik. Bila tinggal dengan wan Kutik dapat nama baru dari wan, iaitu cici. Kutik atau cici ni jadi berisi lepas tinggal berdua dengan wan. Mana tidaknya, wan bertanak khas segenggam untuk nya, kalau wan bermalam di rumah kami, wan akan suruh pergi ke rumahnya pastikan kucingnya itu ada makanan.
Masa masih sihat wan memang rajin memasak. Masakannya memang tiada tandingan. Resipi gulai masam dan gulai rebus wan tidak ditandingi sesiapa. Yang ringkas ringkas seperti sardine goreng dan nasi goreng pun lain rasanya jika wan yang memasaknya.
Dijamah Sunnatullah
" dan sesiapa yang kami panjangkan umurnya, kami kembalikan semula kitaran kehidupannya, tidakkah kamu berfikir…" –mafhum surah Yaa Siin
Bila usia semakin bertambah, wan semakin dimamah usia. Wan menetap bersama kami di rumah di kampung sungai Jahit. Wan hanya boleh duduk dan mengesot, mata sudah kurang nampak, tetapi telinga wan tetap tajam pendengarannya. Dlm keadaan uzur begitu selera makan Wan tetap seperti biasa. Itu yang amat kami syukuri.
Selepas mak dimasukkan ke wad kerana hypoglisemia, dan disahkan mempunyai masalah buah pinggang, wan berpindah pula ke rumah Che Yak, anak bongsunya, di Kampung Sempam Baru, Raub.
Beberapa bulan kemudian, menjelang Ramadhan, Wan hilang selera makan, dan kemampuan wan untuk memegang dan memaut sesuatu beransur berkurangan. Mula mula wan tidak mahu makan nasi, hanya boleh makan Mi. kemudian hanya boleh makan Yong Tau Fu- makanan berasakan Soya. Badan
Wan semakin susut kerana tidak selera makan.
Wan semakin susut kerana tidak selera makan.
Masuk pertengahan Ramadhan Wan semakin tenat. Hari Ahad, 14 Ramadhan, selepas menziarahi wan, akak saya memberitahu keadaan wan yang tenat. Keesokannya, 15 Ramadhan , ketika sedang berterawih di surau, kami menerima panggilan dari Che memberitahu wan sedang sakit tenat. Kami segera berkejar ke rumah Che. Wan sudah tidak boleh menelan makanan pejal. Wan hanya boleh menelan air yang disudukan padanya.
Pergi Tak Kembali
17 Ramadhan- ketika baru usai mesyuarat ringkas dengan Imam 1 dan 2, dan ketua kampung usai solat Zohor di masjid Kariah, saya menerima SMS dari akak yang wan dalam keadaan tenat. Saya bergegas pulang ke rumah, dan kami segera menuju ke rumah Che. Petang itu saudara mara terdekat semuanya berkumpul di sana . Che menyuruh kami menghubungi adik beradik yang berada di luar Daerah memberitahu yang wan dalam keadaan tenat.
Selepas Asar, saya pulang ke rumah sebentar untuk mengambil barang keperluan untuk dibawa ke rumah Che. Selepas berbuka puasa, saya membuat panggilan bertanyakan akak saya tentang ubat mak yang perlu dibawa. Sebentar kemudian, tiba tiba telefon rumah berdering semula. Gagang diangkat, lalu berita diterima, wan telah pergi buat selama lamanya.
17 Ramadhan, masuk malam ke 18 Ramadhan, jam 8.20 malam, Hajah Aminah binti Abdul Rahman, wan kami, telah kembali ke rahmatullah, meninggalkan dunia yang fana ini.
Siang 18 Ramadhan, dalam keredhaan yang berbalut sayu fitrah insani, kami pasrah menerima ketantuan Ilahi…walau memang tak terbalas pengorbanan wan terhadap diri ini, namun kucuba hadiahkan jasa jasa terakhir untuk wan di alam ini..
semoga wan tenang di alam sana …
Ya Allah, ampunkanlah wan, rahmatilah dia, maafkanlah kesalahannya, terimalah amalannya jadikanlah doa doa kami anak cucunya, sebahagian daripada doa yang termasuk di dalam amalan yang tidak terputus dari tuannya, walau setelah kembali ke alam baqa…
"apabila mati anak adam, terputuslah amalannya kecuali tiga: sedakah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak solah yang mendoakannya…"
Wahai anak anak dan cucu cucu wan, marilah kita berusaha menjadi anak yang soleh dan solehah, semoga doa doa kita untuk wan tergolong dalam amalan yang tidak terputus…walaupun wan sudah pergi ke alam sana ..
2 komen:
inna lillahi wa inna inna ilaihi rajiun.
Allahumma jurhum fi musibatuhum wa'qibhum hairan minha.
Allahumma amin
Catat Ulasan