sekadar gambar hiasan
hari ini aku berpeluang menziarahi seseorang, yang daripadanya Allah mengurniakan hikmah dan pengajaran.
sebenarnya berita keuzuran beliau sudah lama diterima. cuma tidak sempat meluangkan masa untuk menziarahi beliau.

beliau seorang imam, ilmuan dan guru Quran.dalam usia yang sudah menjamah 80-an, beliau jelas sudah sukar untuk mengingat. seorang saudara ada menceritakan, ketika anak-anak saudaranya menziarahinya siang hari Ramadhan yg lalu, beliau ingat bulan itu bulan Ramadhan, cuma beliau menghidangkan minuman kepada tetamunya itu!! mungkin beliau anggap anak-anak saudra yang dtg masih kecil!

ketika aku dan sahabat-sahabat menziarahinya tadi, beliau menyambut dengan senyuman. anaknya berpesan kepadaku, tanya kepadanya, dia kenal tak. aku bertanya. jawabnya, "kenal, apa pula tak kenal, anak anak buah belaka.." kemudian terus kami berbual. memperkenalkan diri masing-masing.

kesukaran beliau untuk mengingat jelas apabila beliau mengulangi soalan- awak dari mana - kepada aku sebanyak empat kali. beliau juga bertanya, sudah berapa lama agaknya aku mengenali beliau. (menggambarkan beliau tidak ingat, aku anak muridnya atau anak cucunya). selepas berbual bual, aku merasakan beliau mula mengecam siapa aku, bila terkadang beliau membahasakan dirinya sebagai ana.

apa yang ku kagumi, dalam keadaan sukar mengingati atau mengecam itu, kata-kata beliau ketika berbual ibarat tazkirah yang membasahi hati-hati kami. benarlah, setiap manusia itu akan tua dan lanjut usia, tapi dalam keadaan yang berbeza beza. kata pepatah Arab, siapa yang muda atas sesuatu benda dia akan tua dlm keadaan tersebut. dalam terharu, hati kami juga jadi bersemangat disimbah nasihat beliau.

mungkin beliau bimbang tetamu terasa hati apabila beliau tidak mengecam, lalu beliau berkata, "bukan tak kenal, kenal. tengok muka tu dapat cam orangnya. cuma ada kepayahan untuk mengingat sahaja..."

dalam bertanya dan bercerita tentang keadaan rakan-rakan yang sebaya atau tidak jauh beza usia dengan beliau, beliau secara santai bercerita tentang betapa berbeza-beza bahagian masing-masing yang telah ditentukan oleh Tuhan. Ujian dan Nikmat, serta rezeki.ketentuan yang menimpa diri masing-masing jangan sekali kali menjadi pelemah semangat. diri kita mungkin ada kekurangan, namun diri kita juga dikurniakan kelebihan yang mungkin tak ada pada orang lain. ada orang yang fizikalnya sudah terlalu lemah, tapi Allah masih beri nikmat berselera untuk makan. ada orang yang fizikal mungkin masih baik, tapi mungkin Allah tarik nikmat yang lain.

antara pengajaran yg dapat kami ambil dari kata-kata beliau- jangan menyisihkan orang yang sudah berusia, walaupun mereka sudah kehilangan beberapa nikmat. kata beliau. "walaupun mungkin macam tidak berguna lagi...tapi  "macam tak berguna"..jangan dikatakan -apalah orang ni, sudah tak ingat..dia tu dah tak boleh mengingat dah..salah macam tu.."

beliau turut menasihati kami, bahawa apa yang berlalu itu bukanlah satu kesudahan. begitu juga apa yang kita ada sekarang ini. Bagaimana penyudah hidup kita nanti, itulah kesudahan yang sebenar.

ketika kami minta izin untuk pulang, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih sudi menziarahi beliau. "kita jumpa lagi, insya Allah" merupakan kata-katanya yang menambahkan lagi sebak hati kami.

Ya Allah, panjangkanlah usia beliau dalam keberkatan dan rahmat-Mu....
Ya Allah, aku mohon kepanjangan usiaku sendiri dalam keberkatan..

Hati kecilku berdoa, agar aku juga dikurniakan nikmat begitu di usia tua nanti...

Abu Zubair,
2 Syawal.


0 komen: