Bicara Sunnah tentang Nafkah Haiwan

Bicara Sunnah tentang Nafkah Haiwan

            Singkaplah lembaran sunnah. Kita pasti menemui bicara Rasulullah s.a.w. yang mengingatkan tentang nafkah haiwan.

1.      Tentu ramai yang pernah mendengar kisah seorang perempuan yang diseksa di dalam neraka kerana mengurung kucingnya sehingga mati. Sudahlah tidak diberikan makanan dan minuman. Dikurung pula kucing tersebut sehingga ia tidak dapat mencari makanan sendiri[1].
            Ada dua pengajaran yang boleh diambil daripada hadis ini. Pertama, larangan mengurung haiwan tanpa memberikan makanan dan minuman. Kedua, nafkah haiwan peliharaan wajib ditunaikan oleh pemilik haiwan. (Syarah Sahih Muslim oleh Imam An-Nawawi, 14/240-241)
             Wanita pemilik kucing telah melakukan dua kesalahan. Pertama, tidak memberikan nafkah- makanan dan minuman- kepada kucing tersebut. Kedua, mengurung kucing tersebut sehingga ia terhalang untuk mencari makanan sendiri. (Nailu Al-Awtar, 7/91)

2.      Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. telah terserempak dengan seekor unta. Unta tersebut sangat kurus. Ia membuatkan baginda s.a.w. terlintas untuk memberikan nasihat untuk panduan kita semua. Baginda s.a.w. bersabda, “"Bertakwalah kepada Allah dalam menguruskan haiwan yang tidak berkata-kata ini. Tunggangilah ia. Berikanlah ia makanan yang baik"[2]
            Apakah maksud takwa kepada Allah dalam menguruskan haiwan yang tidak berkata-kata? Maksudnya ialah mengasihani serta tidak menyakiti haiwan tersebut. (lihat: Aunul Ma’bud, 7/158 dan Syarah Sunan Abi Daud Abdul Muhsin Ubbad, 13/474)
            Mungkin terlintas di benak minda, “Apa yang ada pada haiwan? Sampai perlu beriya-iya melayannya. Bercakap pun tidak mampu!!”
            Itu mungkin pada pandangan kita. Di sisi Allah Azza Wa Jalla, kita semua bakal disoal tentang kelaparannya, kehausannya, kepenatan dan kesusahannya!!
            Hakikatnya ini pengajaran besar buat kita. Haiwan yang banyak kekurangannya jika dibandingkan dengan manusia pun tidak dinafikan haknya di sisi Allah s.w.t. 
Jadi siapa kita ingin menafikan hak sesama manusia, atas alasan kekurangan dan kelemahan yang dimiliki oleh sebahagian daripada kita!
Perbuatan tidak menyediakan makanan kepada haiwan peliharaan juga dikira sebagai satu bentuk penyeksaan. Ia tidak mendatangkan faedah langsung!

3.      Islam melalui Al-Quran dan As-Sunnah berbicara tentang larangan pembaziran harta. Tunggu sekejap!! Apa pula kaitan tidak memberi makanan kepada haiwan dengan pembaziran? Bukankah ia boleh dianggap sebagai satu penjimatan kos?
Begini ceritanya. Kita memiliki atau membeli haiwan tersebut untuk dimanfaatkan. Apabila kita menyeksanya, ia tidak dapat lagi dimanfaatkan. Bukankah memiliki atau menghabiskan harta untuk sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat itu dikira satu pembaziran? (Bada'I As-Sana'I, 4/40)





[1] Hadis riwayat Muslim, Kitab As-Salam, Bab Haram Membunuh Kucing, Hadis no: 4160. عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن عمرأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ عُذِّبَتْ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ لا هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَسَقَتْهَا إِذْ حَبَسَتْهَا وَلا هِيَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ.
Abdullah bin Umar r.a. menceritakan, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seorang perempuan telah diseksa kerana kucing yang dikurungnya sehingga mati. Maka dia dimasukkan ke dalam neraka kerana perbuatan tersebut. Dia tidak memberikan makanan dan minuman kepada kucing tersebut, dan dia tidak pula melepaskannya agar kucing itu dapat makan haiwan melata yang boleh ditangkapnya"

[2] riwayat Abu Daud, Kitab Al-Jihad, Bab Ma Yu'maru bihi min Al-Qiyam ala Ad-Dawaab wa Al-Bahaaim. Hadis no: 2550 حديث سَهْلِ بْنِ الْحَنْظَلِيَّةِ، قَالَ: مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِبَعِيرٍ قَدْ لَحِقَ ظَهْرُهُ بِبَطْنِهِ فَقَالَ: " اتَّقُوا اللَّهَ فِى هَذِهِ الْبَهَائِمِ الْمُعْجَمَةِ فَارْكَبُوهَا وَكُلُوهَا صَالِحَةً.
(artikel ini merupakan sebahagian daripada artikel penulis yang tersiar dalam kolum fiqah fauna, majalah solusi isu 63 terbitan telaga biru)

0 komen: