Fiqah Fauna
“Nafkah Haiwan” ?
Ahmad Shamil
Encik Zubair serba salah. Ada rasa sesal
pula dalam diri kerana melalui lorong hadapan kedai haiwan peliharaan ini tadi.
Anak kecilnya sudah “jatuh cinta” dengan anak arnab di dalam sangkar di hadapan
kedai.
Bukan harga fauna comel itu yang bermain
di fikiran. Apalah sangat mengeluarkan sedikit wang untuk kegembiraan anak
sendiri. Tetapi dalam kesibukan hidup keluar pagi pulang malam, mampukah mereka
sekeluarga menunaikan “hak-hak” si comel itu nanti?
Siapa yang akan menguruskan makan
minumnya? Membersihkan sangkarnya? Takut-takut akhirnya nanti fauna itu
terpaksa dilepaskan di mana-mana kawasan semak kerana sudah tidak mampu
diuruskan lagi!!
Nilai sebuah kebebasan
Haiwan diciptakan dengan fitrah untuk
hidup bebas berkeliaran. Apabila seekor haiwan dipelihara oleh manusia,
kebebasannya menjadi kurang atau terhad daripada kebiasaan. Kebebasan haiwan
yang bebas berkeliaran dan haiwan yang dipelihara tentulah berbeza.
Keterbatasan untuk bergerak mungkin
menghalang sang fauna untuk memenuhi sekurang-kurangnya sebahagian daripada
keperluan asas yang diperlukan. Oleh sebab itu, Islam telah menetapkan beberapa
peraturan dan adab yang perlu dipatuhi dan diberikan perhatian dalam
pemeliharaan haiwan.
Pemilik haiwan dituntut memenuhi
keperluan-keperluan asas haiwan tersebut. Ia bolehlah diibaratkan sebagai
“bayaran” atau “ganti” kepada sebahagian daripada kebebasan haiwan yang telah
hilang.
“Nafkah Haiwan”
Percaya atau tidak, anda akan menemui ungkapan
“nafkah haiwan peliharaan” (dalam bahasa Arab disebut sebagai (نفقة
البهائم di dalam kitab-kitab fiqah.
Ungkapan ini boleh kita temui di bawah
bab nafkah dalam kitab pernikahan. Ia dibincangkan di bawah tajuk perbincangan
mengenai nafkah isteri, ibu bapa, anak-anak dan hamba sahaya.
Nafkah haiwan peliharaan bermaksud
keperluan-keperluan asas seperti makanan dan perubatan yang wajib dipenuhi oleh
pemilik haiwan terhadap haiwan yang dipelihara. Ia menggambarkan betapa Islam
sangat menitik beratkan perkara ini kepada umatnya.
Pemilik
haiwan diwajibkan menguruskan keperluan makanan haiwan peliharaan. Ia
merangkumi semua jenis haiwan peliharaan. Tidak kira sama ada haiwan tersebut
boleh dimakan atau tidak. Diternak untuk hasil dan manfaatnya, atau hanya dipelihara sebagai haiwan manjaan.
Haiwan peliharaan tidak boleh
diberikan makanan secara sembarangan. Makanan yang diberi perlu sesuai dengan
tabiat serta sifat pemakanan haiwan tersebut. Maksudnya, sebelum memelihara
haiwan, kita perlu melakukan sedikit kajian mengenai tabiat dan sifatnya.
Seseorang yang memelihara lembu
contohnya, perlu menyediakan kawasan meragut seperti padang rumput. Dia juga
perlu mengembala lembu tersebut. Jika tidak ada masa untuk mengembala, dia
perlu mengupah orang untuk menggantikan tugasnya mengembala lembu ke padang
rumput.
Begitu juga haiwan-haiwan peliharaan
yang lain. Pemiliknya wajib menyediakan makanan yang sesuai. Dalam kata lain,
dia perlu menanggung segala kos pengurusan makanan haiwan peliharaannya.
(lihat: Hasyiah
Ibn Abidin 3/638, As-Syarhu Al-Kabir 2/522, Al-Istiqsa' Takmilah Al-Majmu'
Syarhu Al-Muhazzab 22/438 dan Al-Mughni 18/271)
- artikel ini adalah sebahagian daripada artikel penulis yang tersiar dalam majalah solusi isu 63 terbitan telaga biru
- artikel ini adalah sebahagian daripada artikel penulis yang tersiar dalam majalah solusi isu 63 terbitan telaga biru
0 komen:
Catat Ulasan