{ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (183)
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Adakah Puasa dan bulan Ramadhan itu sendiri benar benar memberi kesan kepada ketaqwaan diri kita? “jika tidak, Mengapa Ramadhan yang kita lalui tidak berkesan?” satu persoalan yang wajib kita semua ambil perhatian sebagai seorang yg benar benar beriman.
Satu persoalan yang nampak Ringkas, tetapi jawapannya bukan mudah.
Kita mengalaminya. Dalam segala janji Allah, galakan dan kemudahan-Nya untuk kita beribadah, kita sering tidak mencapai impian. Jarak di antara diri idaman menjelang Syawwal berbanding diri sebenar, selalu jauh bagai timur menggamit barat.
Mengapa?
Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah memberikan peringatan, bahawa puasa sebagai proses menjana Taqwa adalah satu proses yang rumit. Kalimah La’alla yang dijadikan sendi firman-Nya di Surah al-Baqarah ayat 183 itu sudah sedia dijelaskan dengan kalimah ‘mudah-mudahan’, yang membawa tanda tidak semua yang melalui Ramadhan berhasil mencapai Taqwa di hujung Ramadhan.
Justeru jangan sambil lewa. Usaha mengisi Ramadhan mesti penuh kesungguhan.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah memberi peringatan tentang betapa ramai yang gagal memperolehi tawaran-tawaran hebat Ramadhan, kecuali lapar dan dahaga yang sia-sia.
Justeru ketidak sempurnaan hasil Taqwa setelah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan mungkin berpunca daripada masalah yg bersangkutan dengan iman dan hal-hal dalaman manusia, atau mungkin berpunca daripada soal ilmu pengetahuan dalam menggerakkan puasa mengikut panduan Allah Subhanahu wa Ta’aala.
Antara punca masalah ini bersangkutan dengan AQIDAH, di sinilah timbulnya keganjilan terhadap kelompok yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Bagaimana mungkin seorang itu berpuasa, tetapi meninggalkan rukun Islam yang lebih tinggi iaitu solat? Ia bukan masalah hukum atau masalah fiqh, sebaliknya ia bersangkutan dengan kecacatan serius pada aqidah pelaku ganjil ini.
Ada juga Kerosakan yang membabitkan pemikiran. ini mungkin diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan puasa yang salah motif. Melihat puasa sebagai mekanisma kesihatan diri semata-mata, tanpa ada hubungkaitnya dengan manifestasi kehambaan diri kepada Allah, justeru puasa kosong daripada roh Tarbiyyah, dan sekadar memberikan manfaat material atau duniawi semata-mata.
Ada pun kecacatan berkaitan dengan sistem nilai, ia akan terserlah pada ketidak sungguhan atau tiadanya rasa ghairah terhadap segala tawaran Allah berkaitan Ramadhan.
Jika ada sebuah pasaraya membuat tawaran istimewa, beli satu dapat 10, jalanraya dilapangkan menuju pasaraya itu, lampu isyarat semua dihijaukan, kenderaan lain semua dilencongkan, agar segala kemudahan diberi untuk kita pergi mendapatkan tawaran itu, tetapi kita tidak peduli dan tidak teringin langsung kepadanya, maka sesungguhnya kita memang tidak berminat sungguh dengan apa yang ditawarkan oleh pasaraya tersebut.
Demikianlah juga halnya dengan Ramadhan.
Seandainya pintu Syurga sudah dibuka, pintu Neraka ditutup kunci, malah Syaitan dirantai agar lemah potensinya dalam mengganggu manusia, segala gandaan pahala diberi dan segala galakan kebaikan ditawarkan, tiba-tiba kita langsung tidak tertarik untuk mendapatkannya, ia menandakan bahawa kita memang tidak berminat dengan Allah, tidak berminat dengan tawaran-Nya, tidak berminat dengan Syurga dan tidak pernah kisah dengan Neraka.
Maka sesungguhnya orang ini benar-benar tidak mendapat sebarang rahmat daripada Allah.
Sidang Jumaat yang dirahmati allah,
Kelemahan dari sudut ilmu pengetahuan berkaitan Ramadhan juga menjadi salah satu sebab gagalnya kita mendapat taqwa di penghujung Ramadhan.
Ada yang masih jahil, atau sekurang kurangnya terlupa akan hakikat kejadian insan yang disebutkan oleh Allah Ta'ala di dalam firmannya:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ
Kita merupakan hamba Allah di setiap bulan sepanjang tahun. Kita bukan hanya mengabdikan diri kepada Allah di bulan bulan tertentu sahaja, bahkan setiap saat dan setiap waktu. Tidak ada kesedaran tentang perkara ini menjadikan semangat kehambaan hanya wujud di waktu2 tertentu, yang menjadikan semangat kehambaan itu bermusim, hasilnya kehambaan kita hanya terhad di bulan Ramadhan, dan tidak berjaya diistiqamahkan di bulan bulan selepasnya. Maka imarahnya masjid dan surau di bulan Ramadhan nanti hanya jadi nostalgia kenang kenangan di bulan bulan berikutnya.
Kadang kadang sebahagian daripada kita juga gagal menghayati konsep berpuasa yang sebenarnya. Masih ada yang beranggapan cukuplah sekadar kita berpuasa dan menjaga diri dari batalnya puasa. Larangan larangan Allah yg tidak dimasukkan sebagai perkara membatalkan puasa seperti mengumpat, melihat kepada perkara yg haram, diabaikan kerana kefahaman : tidak mengapa, ia tidak membatalkan puasa!!
Sedangkan nabi s.a.w bersabda dlm hadis baginda:
عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Dalam kesempatan Ramadhan yg masih berada di permulannya, marilah kita sama sama memperbaiki diri kita, dan berazam untuk menjadi hamba yang benar benar bersungguh dalam melaksanakan kwajipan di bulan Ramadhan, mudah mudahan jaminan taqwa yg diberikan Allah hasil dari tarbiyah Ramadhan.
[disadur dr artikel ust hasrizal dr blognya, beserta tokoh tambah penulis-dibaca di mimbar masjid jame'Dong-28ogos2009]
0 komen:
Catat Ulasan