malam sabtu,ibubapa dan kita


Malam Sabtu yang lalu, kira kira 20 minit baru memulakan kuliah fiqh di masjid kariah kampung saya, saya terpandang kelibat pak yang muncul di pintu utama masjid, mengisyaratkan untuk segera pulang ke rumah. Saya segera menamatkan kuliah.
Dalam kereta pak memberitahu keadaan mak yang agak tenat. Memang dah dua hari ibu saya demam, tidak berselera makan dan tidak begitu berdaya bergerak. Hendak ke tandas pun kami gunakan troli utk menghantar beliau. Saya dan ayah menuju ke rumah pembantu kesihatan (medical assistant-MA) yang tidak begitu jauh. Sampai di sana, kenderaan MA tiada, bermakna tiada di rumah.
Kami menuju ke rumah semula. pak menyuruh saya membantu akak menguruskan mak, sementara dia ke klinik melihat senarai petugas yang on call. Mak memang sudah tidak sedar,matanya tidak pejam, mulut tertutup rapat. keadaan malam itu belum pernah kami hadapi sebelum ini. berpandu ilmu yang ada, kami buat usaha semampu yang boleh.
Tidak lama kemudian pak kembali ke rumah, dan ambulans juga sampai. Seorang jiran yang melihat ambulans ke rumah turut singgah melihat situasi. Mak diangkat ke dalam ambulans, dan dibawa ke klinik.


Setelah beberapa ketika dibuat pemeriksaan, rupa rupanya kandungan gula dalam darah terlalu rendah. Bacaannya 1. puncanya? tidak selera untuk makan menyebabkan tidak makan banyak, dalam masa yg sama ubat penghapus gula dimakan juga,akhirnya kandungan gula menjadi sangat rendah.dan bacaan tekanan darah juga agak tinggi. Setelah diberi air gula, mak kembali sedar dan dapat mengenal orang dan tempat dia berada.
Oleh kerana penyakit diabetes mak di tahap yang tinggi, dibimbangi ada komplikasi lain. jadi mak kena dibawa ke hospital raub juga. Di hospital raub, doktor terpaksa menahan mak di dalam wad.
Di dalam wad, mak masih tak berselera makan. Dua tiga sudu menyuap nasi, mak sudah tidak mahu. Jadi sukar untuk meningkatkan kembali kandungan gula. Tenaga juga tidak ada, menyebabkan nak duduk pun perlu dibantu. Hari ke dua, pemeriksaan mendapati tekanan darah terlalu rendah pula, membuatkan kami bertambah risau.
Alhamdulillah, setelah tiga malam di hospital, pagi hari keempat dibenarkan untuk pindah ke wad kelas kedua. Selepas doktor membuat pemeriksaan untuk hari tersebut, mak gembira kerana hari itu dia dibenarkan keluar. Namun badan mak masih lemah dan tak bertenaga, jadi dibawa ke kereta dengan bantuan kerusi roda, dan dipapah oleh kami untuk dibawa masuk ke rumah.
Saya kagum dengan pak, dalam usia yang lebih tua dari mak, beliau masih gagah menghadapi semua ini. saya juga kagum dengan kakak kakak saya. akak yang sulung sanggup pulang dari kedah, walaupun baru semalaman dia baru pulang ke sana dari raub. Juga akak saya yang ketiga, dialah yang banyak menunggu emak saya di hospital, tak kira siang dan malam. Anda jauh lebih tabah dari saya!! Saya yang menunggu seketika di siang hari sahaja pun berusaha keras untuk menghabiskan shift.. Semoga Allah melihat pada apa yang kalian sumbangkan, Ameen…
**************************************************************
Semuanya mengingatkan diri saya bahawa saya semakin dewasa. Bila kita sudah dewasa usia ibubapa kita juga usia mereka semakin meningkat. Fitrah manusia menjangkau usia emas, keuzuran akan datang. Saat saat ini lah mereka memerlukan khidmad kita sebagai anak anak.
Bukankah Allah Ta;ala telah menyebut dalam al-quran: " apabila salah seorang daripada mereka, atau kedua duanya berada di sisi kamu, dan telah sampai usia tua, maka janganlah kamu ucapkan kepada mereka berdua "ah", dan janganlah kamu mengherdik mereka, dan katakanlah kepada mereka berdua kata kata yang mulia…"- mafhum surah al-isra'.
Dalam kedewasaan umur kita, masa yang berlalu seakan memanggil. Sudahkah kita curahkan kasih sayang kita terhadap mereka? Adakah terbalas segala jasa mereka?
kesibukan harian jangan kita jadikan alasan untuk menguzurkan diri daripada melaksanakan kewajipan kita kepada ibubapa kita. Jangan bila mereka sudah pergi baru sibuk kita dengan itu dan ini untuk menyumbang kepada mereka. Doa anak yang soleh memang menjadi saham berterusan bagi insan yang telah pergi, tetapi kesolehan seorang anak itu bukanlah bermula setelah kepergian orang tuanya…
marilah kita semua berusaha menjadi anak yang soleh dan solehah…hanyalah anak yg soleh dan solehah bisa memberikan kasih sayangnya, dan mendoakan hari akhirat kedua orang tuanya…

2 komen:

Abu Al-Yasr berkata...

terharu membacanya

Abu_Zubair berkata...

syukran sudi baca abg latef