kuliah hadis- 02/1- iman dan istiqamah- ep1


Rujukan utama:
- al-wafi fi syarh al-arba'in an-nawawiyyah- Mustafa bugha dan muhyiddin mistau, dar ibn kathir Beirut, cetakan ke 12- 2001 .
- hadis empat puluh- Mustafa Abd Rahman, Maktabah Hj Abdullah bin Muhammad Nuruddin ar-Rawi, cetakan the united press, penang.
-rujukan lain akan dinyatkan pada tempatnya


عن أبي عمرو وقيل: أبي عمرة سفيان بن عبد الله رضي الله عنه قال: ( قلت: يا رسول الله! قل لي في الإسلام قولاً لا أسأل عنه أحداً غيرك، قال: قل: آمنت بالله، ثم استقم ) رواه مسلم
Daripada Abi Amru, dikatakan: Abi Amrah Sufyan bin Abdullah r.a, dia telah berkata: aku berkata: wahai rasulallah, katakanlah kepadaku tentang Islam satu perkataan yang tidak perlu lagi aku bertanya orang lain selain tuan. Baginda bersabda: katakanlah: aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah. (riwayat Muslim). Kata Ibn Hajar diriwayatkan juga oleh an-Nasai dan at-Tirmizi. (al-isobah 3/124)
Hadis ini merupakan hadis yang 21 daripada koleksi hadis 40 al-imam an-nawawi.


1. perawi hadis
Sufyan bin Abdullah merupakan seorang sahabat dari kalangan penduduk Taif. Beliau telah masuk Islam bersama sama rombongan dari Taif yang menemui rasulullah s.a.w, dan dikatakan ketika itulah beliau bertanya seperti di dalam hadis ini.
Umar r.a telah melantiknya sebagai pengurus zakat penduduk Taif. Riwayat Mursal daripada Ibn Abi Syaibah turut menyebut bahawa baginda s.a.w melantik beliau sebagai wakil baginda di Taif. (al-Isobah- 3/124)
2. Pertanyaan di dalam Islam
Di dalam hadis ini, sufyan telah bertanya soalan yang umum kepada baginda s.a.w, dan beliau meminta jawapan yang ringkas dan menyeluruh, yang tidak memerlukan beliau bertanya pula kepada orang lain. lalu rasulullah s.a.w menjawab soalan sebagaimana yang Sufyan mahu, iaitu ringkas dan menyeluruh.
Jadi hadis mengajar kita fiqh menjawab soalan. Soalan yang ringkas perlu dijawab dengan ringkas, kalau ada tambahan pun tidak sampai tidak difahami oleh orang yang bertanya.
3. Iman dan Istiqamah- seiring sejalan
Iman berkait rapat dengan aqidah, manakala istiqomah berkait rapat dengan amalan, bahkan tanda istiqomahnya iman adalah praktikal iman iaitu amalan. Kedua duanya mesti ada bersama, seiring sejalan.
Iman tanpa amalan menjadikan iman itu tempang, amalan tanpa iman menjadikannya hampa.
4. Memperbaharui Iman- Tajid al-Iman
Iman merupakan teras amalan kita. Iman yang kuat, jitu, tegas, melahirkan amalan yang baik. Dasar Iman yang kuatlah yang membolehkan syariah/hukum/amalan dilaksanakan.
Dalam hadis di atas, kita lihat sufyan telah pun beriman dan memeluk Islam, tetapi bila beliau minta keterangan, disuruh beliau berkata: aku beriman kepada Allah!! Kenapa??
Menurut para ulama, inilah perintah memperbaharui iman, tajdid iman. Iman manusia ini seperti yang disebut ulama aqeedah, ada naik turunnya. Jadi Untuk mendapatkan amalan yang tidak putus putus, nabi s.a.w perintahkan kita perbaharui iman kita.
Samalah dengan kereta dan motor yang perlu ditukar minyak hitamnya, dicas, ditukar air bateri atau ditukar bateri baru, juga diservis, dalam tempoh masa tertentu. Begitulah iman manusia.
Tajdid iman itu dilakukan dengan cara sentiasa mengingati Allah di dalam hati, menyebut dengan lidah, dan melaksanakan segala tanggungjawab yang telah diperintahkan.
5. Istiqamah
Istiqamah ialah:
berada di atas jalan lurus dan betul, bertepatan dengan Iman. Jalan yang lurus ini hanya satu, sedangkan jalan yang bengkok dan silap itu banyak. Ini disebut di dalam al-Quran:
وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ
(dan inilah jalanku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu semua mengikuti jalan jalan lain, maka kamu akan terpisah daripada jalan-Nya).- al-An'am-153.
Lihatlah bagaimana Allah menyebut jalan yg benar itu dengan lafaz mufrad/ singular, menunjukkan ianya tunggal, manakala jalan yang sesat itu disebut dengan lafaz jamak/ plural, menunjukkan ia banyak.
Istiqomah juga bermaksud komited, berterusan di dalam sesuatu amalan.
Komitmen kepada jalan yg lurus, dan tidak menyimpang. Tidak berubah, tidak bergoncang, tidak terpengaruh dengan pengaruh seseorang, atau satu kumpulan, atau sesuatu keadaan. Islam sudah lengkap dengan syariatnya, yang tinggal komitmen kita untuk istiqamah. Ia bukan satu bentuk peraturan yang boleh dipermudahkan atau dipayahkan.
Orang yang Istiqamah, tetap memelihara imannya dan dirinya, amalannya, walau apa berlaku, walau apa musibah dan ujian melanda. Tidak bermuka dua, bercabang lidah, dalam menghadapi keadaan mendesak.
6. Mengakui kesilapan sebahagian daripada istiqamah
Sebahagian dari istiqamah itu adalah mengakui kesilapan dalam percakapan, amalan dan tujuan, dan berusaha memperbaikinya. Jika komited dgn amalan semata, tanpa mengakui dan memperbaiki kesilapan, kita masih belum istiqomah!!
bersambung ke episod 2

0 komen: