Kuliah Fiqh Shafi'i: 03-01: Menziarahi orang sakit


Kuliah Fiqh Shafi'i: 03-01: Menziarahi orang sakit
Rujukan utama:
- al-majmu syarh al-muhazzab- 1/109-118.
- Soheh fiqh sunnah – 1/611-612
- Rujukan lain ada dinyatakan di tempat tempatnya



Dalam siri yang lalu, kita telah membincangkan adab adab ketika sakit. Dalam siri kali ini insya Allah kita akan membincangkan tentang menziarahi orang sakit pula.
Menziarahi orang sakit sebenarnya bukan sekadar adat kebiasaan, atau kemanusiaan yang timbul dari rasa kasihan, bahkan ia merupakan satu sunnah yang diperintahkan oleh nabi s.a.w.
Al- Barra' bin A'zib r.a meriwayatkan:
أمرنا رسول الله صلي الله عليه وسلم باتباع الجنائز وعيادة المريض
" Rasulullah s.a.w telah menyuruh kami mengiringi jenazah dan menziarahi orang sakit"- riwayat al-Bukhari dan Muslim.




Kekerapan menziarahi pesakit
Al-Imam an-Nawawi menyebut, umumnya ziarah pesakit tidak boleh dilakukan terlalu kerap, seperti menziarahinya setiap hari, melainkan keadaannya agak tenat. Kenapa? Kerana dibimbangi kunjungan yang terlalu kerap mengganggu pesakit, kerana di waktu waktu tertentu, mungkin pesakit perlukan privacy, mahu bersendirian.
Namun bagi orang orang yang rapat dengan pesakit, seperti keluarganya, teman rapatnya, yang pesakit memerlukannya, atau rindu kepadanya, tidak mengapa mereka kerap menziarahinya.


Doa doa untuk pesakit
Kita juga disuruh berdoa untuk pesakit ketika menziarahinya, lebih lebih lagi pesakit yang ada harapan untuk sembuh. Antara doa doa yang diajarkan oleh rasulullah s.a.w:
1. أَسْأَلُ الله الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ
" aku mohon Allah yang agung, tuhan araysh yang agung, agar menyembuhkanmu".
Hadis riwayat Abu Daud, al-Hakim, at-Tirmizi, dan an-Nasai. Tahqiq an-Nawawi: Soheh, at-tirmizi: ianya hadis Hasan, al-Hakim: soheh dengan syarat al-bukhari.


2. surah الفاتحة
" ان نفرا من أصحاب النبي صلي الله عليه وسلم نزلوا علي حي من احياء العرب فلدغ سيدهم فجعل بعض الصحابة يقرأ الفاتحة ويجمع بزاقه ويتفل فبرأ الرجل "
Sekumpulan sahabat r.a singgah di sebuah daerah /perkampungan, di mana ketua mereka telah disengat/dipatuk haiwan berbisa. Sebahagian sahabat membaca al-Fatihah, mengumpulkan air liur dan menghembuskannya, kemudian dia pun sembuh.- riwayat al-Bukhari dan Muslim.

3. Tiga Qul- surah الإخلاص-الفلق- الناس
عن عائشة ان النبي صلي الله عليه وسلم " كان ينفث علي نفسه في المرض الذى توفى فيه بالمعوذات - وفي رواية - قل هو الله أحد وقل أعوذ برب الفلق وقل أعوذ برب الناس) رواه البخاري ومسلم
Daripada aisyah r.a, bahawa nabi s.a.w ketika baginda sakit- yang membawa kepada kewafatan baginda- menghembuskan pada diri baginda bacaan al-mua'wwizaat- dlm riwayat lain- قل هو الله أحد -وقل أعوذ برب الفلق -. قل أعوذ برب الناس riwayat al-bukhari dan muslim.
4. اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ ، مُذْهِبَ البَأسِ ، اشْفِ أنْتَ الشَّافِي ، لاَ شَافِيَ إِلاَّ أنْتَ ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقماً " رواه البخاري
Ya Allah Tuhan sekalian manusia, yang menghilangkan kesakitan, sembuhkanlah, Engkau Maha Penyembuh, tiada penyembuh melainkan Engkau, penawar yang tidak meninggalkan bekas kesakitan. – riwayat al-bukhari, drp anas.


5. letak tangan pada tempat yang sakit, kemudian baca بسم الله- tiga kali- kemudian dibaca أَعُوذُ بِالله وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ - tujuh kali.
Maksud doa: Aku berlindung dengan Allah dan KukuasaanNya daripada kejahatan apa yang aku dapati dan yang aku bimbangkan.
Hadis Uthman bin Abi al-As, diriwayatkan oleh Muslim.


6. membaca اللهم اشف (Ya Allah sembuhkanlah) kemudian menyebut nama pesakit, dibaca 3 kali.
Contoh pesakit bernama Saad, maka dibaca: اللهم اشف سعدا tiga kali.
Diriwayatkan oleh muslim, daripada Saad bin abi waqqas r.a, menurut Saad baginda membaca doa ini ketika menziarahi beliau.
Kata abu zubair: inilah sebahagian daripada perubatan Islam, yang disebut ruqyah atau jampi. doa doa dan zikir zikir ini lah yang sepatutnya menjadi amalan kita ketika sakit, lebih lebih lagi ianya tsabit dengan riwayat yang soheh dari rasulullah s.a.w. tidak perlu kita beramal dengan jampi jampi yang tidak pasti, apalagi yang mungkin boleh membawa kepada kesesatan bahkan mungkin kesyirikan. Semoga Allah lindung kita dari kesesatan dan kesyirikan, dan menetapkan kita di atas jalan rasul s.a.w dan sahabat2 baginda r.a.


Talqin
Jika kita menziarahi orang yang sakit tenat, yang zahirnya nazak, disunatkan mentalqinkannya dengan لا إله إلا الله. Inilah yang dimaksudkan dengan hadis yang diriwayatkan daripada abi Said al-khudry r.a. :
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
Rasulullah s.a.w bersabda: Talqinkanlah orang yang hampir mati dr kalangan kamu dengan La Ilaha illAllah (riwayat Muslim)
Antara khasiat talqin itu ialah seperti yang disebutkan oleh baginda s.a.w di dalam sebuah hadis:
وروى معاذ رضي الله عنه أن النبي صلي الله عليه وسلم قال " من كان آخر كلامه لا اله الا الله وجببت له الجنة "
Muaz r.a meriwayatkan bahawa nabi s.a.w bersabda: Barangsiapa yang perkataan terakhirnya ialah La Ilaha Illallah- telah wajiblah baginya syurga. (riwayat abu Daud dan al-Hakim). (tahqiq imam an-nawawi: diriwayatkan oleh Imam abu daud dengan sanad yang hasan, dan al-hakim menyebut isnadnya soheh).
Menurut an-Nawawi, sebahagian Ashab menyebut: jika pesakit sudah melafazkan syahadah, tidak perlu lagi diulang banyak kali , kecuali dia menyebut perkataan lain selepas shahadah.

bersambung...

0 komen: